Bengkel Kefahaman & Aplikasi AI dalam Penyampaian Mesej Pendidikan Masyarakat & Dakwah
Pertubuhan IKRAM Negeri Terengganu dengan kerjasama Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu telah menganjurkan Bengkel Kefahaman dan Aplikasi AI dalam Penyampaian Mesej Pendidikan Masyarakat dan Dakwah pada 15 Ogos 2025 (Jumaat) bertempat di Studio Al-Quran, PISM UMT.
Bengkel sehari ini diadakan bagi memberikan pendedahan kepada para peserta tentang asas konsep serta potensi Kecerdasan Buatan (AI) dalam memperkasakan kaedah penyampaian maklumat, pendidikan masyarakat dan dakwah.
Antara objektif utama penganjuran bengkel ini ialah:
• Memberi kefahaman asas tentang teknologi AI dan peranannya dalam kehidupan seharian.
• Melatih peserta menggunakan aplikasi AI seperti ChatGPT, Canva AI, Text-to-Image dan lain-lain bagi menghasilkan mesej dakwah, pendidikan serta advokasi sosial yang lebih kreatif dan berkesan.
• Menggalakkan penggunaan teknologi secara beretika, bijak dan berimpak tinggi dalam kerja-kerja kemasyarakatan serta dakwah.
Seramai 50 orang peserta telah menyertai bengkel ini dan dibimbing oleh fasilitator jemputan, Coach Salwa dari Salam Pro Group Sdn. Bhd.
Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat melahirkan para da’i dan penggerak masyarakat yang lebih bersedia memanfaatkan teknologi digital bagi memperluas capaian dakwah dan pendidikan kepada semua lapisan masyarakat.
Pusat Islam Sultan Mahmud
Universiti Malaysia Terengganu







