Kuala Nerus, 21 Ogos 2025 – Pusat Islam Sultan Mahmud UMT terus menunjukkan kecemerlangan apabila tiga pegawainya menerima pengiktirafan berprestij dalam Majlis Anugerah Tahunan UMT 2025 yang diadakan di Dewan Sultan Mizan, UMT.
Majlis ini merupakan acara tahunan universiti yang dianjurkan bagi meraikan warga kerja yang menunjukkan prestasi cemerlang, dedikasi tinggi serta kesetiaan dalam perkhidmatan. Pengiktirafan ini sekali gus menjadi bukti penghargaan universiti terhadap usaha dan sumbangan kakitangan dalam memacu kecemerlangan organisasi.
Antara penerima dari PISM ialah:
• Ustaz Ahmad Mustaffa bin Mohamad, Pegawai Tadbir (Hal Ehwal Islam)
Menerima dua anugerah pada malam tersebut, iaitu Anugerah Julangan Bakat dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Anugerah Julangan Bakat diberikan kepada warga universiti yang menonjol dengan kepimpinan, potensi, dan bakat luar biasa, manakala Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pula mengiktiraf pegawai yang mencapai prestasi kerja tinggi secara konsisten.
• Encik Abdul Rahim bin Hj Uzip @ Othman, Penolong Pegawai Tadbir (Kanan)
Diberi pengiktirafan melalui Anugerah Perkhidmatan Cemerlang hasil komitmen beliau yang berterusan dalam melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan tanggungjawab.
• Ustaz Mohd Syafiq bin Alias, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam
Menerima Anugerah Setia Bakti yang diberikan kepada staf yang menunjukkan kesetiaan, ketekunan, serta sumbangan berpanjangan kepada universiti.
Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama para penerima, bahkan turut memperlihatkan komitmen PISM dalam mendukung aspirasi universiti sebagai institusi ilmu yang cemerlang.
Dengan pengiktirafan ini, PISM yakin akan terus melahirkan warga kerja yang berdedikasi serta beriltizam untuk memberi sumbangan bermakna kepada UMT dan masyarakat.






