SMK Padang Negara, 26 November 2025 – Program Kem Bestari Solat SMK Padang Negara telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan seramai 100 orang pelajar Tingkatan 1. Program ini memberi fokus kepada bimbingan asas wuduk, bacaan dalam solat, serta praktikal solat berjemaah sebagai usaha memperkukuh kefahaman dan penghayatan ibadah dalam kalangan pelajar.
Pelaksanaan program ini turut mendapat kerjasama erat daripada fasilitator enam sayap Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang terdiri daripada mahasiswa berpengalaman dalam bidang dakwah dan pengurusan program kerohanian. Kehadiran mereka telah membantu memastikan setiap slot berjalan dengan lancar, tersusun dan memberi impak positif kepada para peserta.
PISM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan SMK Padang Negara atas jemputan serta sokongan yang diberikan sepanjang program berlangsung. Semoga penganjuran ini menjadi medan tarbiah yang berterusan dalam membentuk generasi pelajar yang berdisiplin, berilmu dan berakhlak mulia.

































