Bukit Bintang, Petaling Street, Berjaya Timesquare, Kuala Lumpur, 18 – 21 Disember 2025 – Kelab PERKIM Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Mega Street Dakwah 4.0 dan Bukit Bintang Berselawat bertempat di Kuala Lumpur, sebagai usaha menyampaikan mesej Islam kepada komuniti bukan Muslim melalui pendekatan dakwah lapangan yang terbuka, berhikmah, dan penuh kasih sayang. Program ini turut memupuk persepsi positif terhadap Islam serta menggalakkan interaksi harmonis antara komuniti Muslim dan bukan Muslim.
Program diketuai oleh Saudari Nurul Asma Insyirah, Presiden Kelab PERKIM UMT, bersama barisan mahasiswa kelab, dan diiringi oleh Penasihat Kelab, Ustaz Naim Rafizi bin Rahman. Turut menyertai program ini ialah ahli Kelab PERKIM UniSZA dan PERKIM UIA, dengan bimbingan panel Multiracial Reverted Muslim (MRM) yang memberikan penerangan mengenai teknik dakwah yang berhikmah dan berkesan.
Usaha ini berhasil meningkatkan kefahaman dan persepsi positif terhadap Islam dalam kalangan komuniti bukan Muslim, sambil memperkukuh keharmonian sosial dan perpaduan masyarakat. Program ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani, yang menekankan toleransi, keamanan, dan kesejahteraan bersama.
Melalui penglibatan aktif dalam Mega Street Dakwah 4.0, mahasiswa dan belia Muslim dapat memperkasakan sahsiah, ilmu, akhlak, dan kepimpinan, sekali gus melahirkan generasi pemimpin muda yang matang, bertanggungjawab, dan berwibawa.
Kelab PERKIM UMT merakamkan penghargaan kepada pihak Multiracial Reverted Muslim (MRM) atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program ini. Program ini dijangka memberikan impak positif kepada pembangunan sahsiah mahasiswa UMT serta memperkukuh peranan mereka dalam usaha dakwah dan kebajikan masyarakat.















