Studio Al-Quran PISM UMT, 8 Januari 2026 – Mesyuarat Jawatankuasa Masjid Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-19 telah diadakan di Studio Al-Quran, Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), UMT bagi membincangkan hala tuju serta perancangan strategik pengimarahan masjid bagi tahun 2026.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Prof. Ts. Dr. Muhammad Suzuri bin Hitam selaku Pengerusi Masjid UMT dan dihadiri oleh ahli-ahli Jawatankuasa Masjid UMT yang terdiri daripada wakil pengurusan universiti serta komuniti setempat.
Antara agenda utama yang dibincangkan termasuk pembentangan laporan program dan aktiviti terdahulu, perancangan aktiviti sepanjang tahun 2026, cadangan penambahbaikan aspek pengurusan serta usaha memperkukuh peranan Masjid UMT sebagai pusat pembangunan rohani dan komuniti warga kampus.
Mesyuarat turut memberi penekanan kepada cadangan-cadangan strategik bagi memperkasa pengimarahan masjid, meningkatkan penglibatan pelajar dalam program kerohanian dan kesukarelawanan serta memperluaskan jaringan kerjasama bersama pelbagai pihak. Usaha ini dilihat penting bagi memastikan Masjid UMT terus berfungsi secara efektif sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu dan aktiviti kebajikan.
Diharapkan segala keputusan dan perancangan yang telah dipersetujui dalam mesyuarat ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan demi manfaat seluruh warga Universiti Malaysia Terengganu serta masyarakat setempat.







