Studio Al-Quran PISM UMT, 10 Januari 2026 – Satu Bengkel Fiqh Wanita bertajuk Haid, Nifas dan Istihadah anjuran Kelab Rakan Siswa YADIM (RSY) UMT telah berjaya dilaksanakan bermula jam 9.00 pagi dengan pengisian disampaikan oleh Dr. Najihah binti Abdul Mutalib, Pensyarah Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Bengkel ini diadakan sebagai inisiatif memperkukuh kefahaman mahasiswi terhadap hukum-hakam fiqh wanita, khususnya berkaitan isu haid, nifas dan istihadah yang sering menimbulkan kekeliruan dalam pelaksanaan ibadah harian. Pengisian yang disampaikan secara tersusun dan interaktif memberi ruang kepada peserta untuk bertanya soalan serta mendapatkan penjelasan yang lebih mendalam berhubung situasi-situasi praktikal yang dihadapi.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta didedahkan dengan penerangan berasaskan dalil serta panduan fiqh yang jelas bagi memastikan ibadah yang dilaksanakan menepati syarat dan ketetapan syarak. Pendekatan yang sistematik ini membantu meningkatkan keyakinan peserta dalam mengurus isu-isu berkaitan ibadah ketika berada dalam keadaan haid, nifas atau istihadah.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada mahasiswi UMT. Diharapkan penganjuran bengkel seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan dalam memperkasakan ilmu fiqh wanita serta melahirkan Muslimah yang lebih berilmu, yakin dan beramal dengan kefahaman yang sahih.









