KUALA NERUS, 14 Januari 2026 – Masjid Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dipenuhi suasana tenang dan penuh pengharapan apabila warga UMT serta komuniti setempat berhimpun dalam Kuliah Maghrib Khas dan Solat Hajat sempena Peperiksaan Akhir Semester 1 Sesi 2025/2026.
Kuliah telah disampaikan oleh Ustaz Mohamad Mizan, Motivator dan Pengarah Urusan TQHM Consultant. Dalam pengisiannya, beliau menekankan kepentingan menenangkan jiwa, memperkukuh hubungan dengan Allah SWT serta meletakkan sepenuh pergantungan kepada-Nya ketika menghadapi detik-detik penting seperti peperiksaan.
Usai kuliah, para jemaah bersama-sama menunaikan Solat Hajat dengan penuh khusyuk, memohon agar dikurniakan ketenangan hati, keberkatan ilmu serta kejayaan yang diredai Allah SWT. Momen kebersamaan ini bukan sahaja menyentuh emosi, malah membangkitkan semangat para pelajar untuk terus berusaha dengan gigih di samping bertawakal kepada-Nya.
Program ini diharap menjadi sumber kekuatan rohani kepada para pelajar UMT dalam menghadapi peperiksaan, di samping menyemarakkan lagi peranan masjid sebagai pusat pembinaan jiwa, penyebaran ilmu dan pengukuhan ketakwaan dalam kalangan warga universiti.











