KUALA NERUS, 15 Januari 2026 – Kelab Sahabat Masjid (SAHAM), Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Forum Isra Mikraj Bersama Ustaz Kembar yang berlangsung di Masjid Universiti Malaysia Terengganu (Masjid UMT) pada malam Khamis, sejurus selepas solat Maghrib.
Program Isra Mikraj UMT ini dianjurkan bersempena memperingati peristiwa agung Israk dan Mikraj sebagai usaha memperkukuh kefahaman mahasiswa serta komuniti setempat terhadap kepentingan ibadah solat dan pengajaran besar di sebalik mukjizat perjalanan Rasulullah SAW.
Forum ini menampilkan dua panel jemputan terkenal iaitu Ustaz Rafizi dan Ustaz Rafifi, yang lebih dikenali sebagai “Ustaz Kembar”. Gandingan mereka berjaya menarik perhatian hadirin melalui pendekatan dakwah yang santai, interaktif dan sarat dengan pengisian ilmu berkaitan penghayatan solat sebagai tiang agama.
Dalam pengisian forum, para peserta turut diajak menghayati firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’, ayat 1 yang menjadi asas kefarduan solat lima waktu serta simbol kebesaran peristiwa Israk dan Mikraj.
Program kerohanian UMT ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada mahasiswa, mahasiswi serta penduduk sekitar Kuala Nerus. Penganjuran forum ini secara tidak langsung menyemarakkan lagi usaha pengimarahan Masjid UMT sebagai pusat penyebaran ilmu, pembangunan rohani dan pembentukan jati diri Muslim dalam kalangan warga universiti.
Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada para panel jemputan dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Diharapkan segala ilmu dan pencerahan yang diperoleh dapat diamalkan dalam kehidupan seharian demi meraih keredaan Allah SWT.











