KUALA NERUS, 25 Jun – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan Free Market Sempena Karnival Jubli Perak UMT sebagai salah satu pengisian istimewa sempena sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan universiti.
Berlangsung di Serambi Masjid UMT bermula jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam, program ini mengangkat konsep “Ambil Apa Yang Perlu, Sumbang Apa Yang Mampu” dengan menyediakan pelbagai barangan secara percuma kepada warga UMT dan komuniti setempat.
Antara barangan yang disediakan termasuk pakaian, buku, beg, kasut serta pelbagai barangan keperluan harian hasil sumbangan warga universiti dan masyarakat.
Program Free Market berjaya mencapai objektifnya dalam menyemai budaya berkongsi dan membantu mereka yang memerlukan. Dengan penyertaan 39 orang penyumbang yang terdiri daripada staf dan komuniti setempat serta 123 orang penerima barangan sumbangan, program ini telah memberi impak positif kepada warga UMT dan masyarakat setempat. Kerjasama daripada Persatuan PASAK serta sukarelawan seramai 15 orang juga telah membantu memastikan perjalanan program berjalan dengan lancar dan teratur.
Selain membantu golongan yang memerlukan, Free Market turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara warga kampus dan komuniti melalui perkongsian rezeki serta nilai kasih sayang yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat.
Selaras dengan semangat Sambutan Jubli Perak UMT, program ini mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan warga yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan penyelidikan, malah mempunyai nilai ihsan, keprihatinan sosial serta tanggungjawab terhadap kelestarian.
PISM berharap program seumpama ini akan terus menjadi budaya dalam kalangan warga UMT sebagai manifestasi semangat memberi, berkongsi dan menyebarkan manfaat kepada masyarakat, bertepatan dengan aspirasi universiti untuk terus berbakti kepada komuniti sepanjang 25 tahun penubuhannya.













