Skip to main content

PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

PISM ANJUR KURSUS PEMERKASAAN AL-QURAN BERTERASKAN SAINS DAN TEKNOLOGI KOHORT KE-2

KUALA NERUS, 5 Julai 2026 – Seramai 55 peserta menyertai Program Pemerkasaan Al-Quran Berteraskan Sains dan Teknologi Kohort Ke-2 yang berlangsung di Studio Al-Quran, Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan kohort pertama yang berjaya melahirkan 60 graduan dan diraikan pada Majlis Graduasi pada 9 April 2026. Sambutan menggalakkan daripada guru-guru Al-Quran mendorong PISM meneruskan program ini bagi memperluaskan peluang masyarakat mendalami Al-Quran melalui pendekatan yang lebih sistematik dan kontemporari.

Dikendalikan oleh Dr. Faiz bin Mohd. Yasin, Felo Penyelidik PISM, program ini merangkumi lapan siri kuliah yang mengintegrasikan ilmu Al-Quran dengan sains dan teknologi. Pendekatan ini memberi pendedahan kepada kaedah pembelajaran yang interaktif serta meningkatkan kefahaman terhadap mukjizat dan keagungan Al-Quran.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Kasyfullah bin Abd. Kadir, Ketua PISM, yang menekankan kepentingan memanfaatkan perkembangan sains dan teknologi bagi memperkukuh penyampaian serta penghayatan ilmu Al-Quran. Turut hadir ialah Encik Ahmad Zaidi bin Mustaffa, Pengerusi Sahabat Al-Quran Terengganu.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen PISM dalam memperkasa pendidikan Al-Quran secara inovatif dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi UMT untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak serta menghayati nilai-nilai Al-Quran dalam kehidupan.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca