Skip to main content

PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

MAJLIS KHATAM AL-QURAN SEMPURNAKAN PENUTUP TAHSIN HALAQAH JELAJAH NEGERI TERENGGANU SIRI 2

KUALA NERUS, 31 OKTOBER 2026 – Persatuan Halaqah Al-Quran & Tahsin Tilawah Bestari dengan kerjasama Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran sempena Majlis Penutup Tahsin Halaqah Jelajah Negeri Terengganu Siri 2 bertempat di Masjid UMT.

Majlis ini dirasmikan oleh Puan Faizah binti Ismail, Timbalan Pendaftar, Pusat Islam Sultan Mahmud mewakili Ketua Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT.

Pengisian utama majlis diteruskan dengan bacaan Al-Quran dan Majlis Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Ustazah Hjh. Nawiyah Abu, diikuti bacaan doa khatam Al-Quran serta perkongsian tadabbur Al-Quran. Pengisian ini bukan sahaja meraikan kejayaan peserta yang menyempurnakan bacaan 30 juzuk Al-Quran, malah mengajak para peserta untuk terus mendalami, memahami dan menghayati mesej serta panduan kehidupan yang terkandung dalam kitab suci tersebut.

Majlis turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada 15 orang peserta yang berjaya mengkhatamkan 30 juzuk Al-Quran sebagai tanda pengiktirafan terhadap komitmen, kesungguhan dan kecintaan mereka terhadap kalam Allah SWT.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan PISM, UMT dalam memperkasa pendidikan dan penghayatan Al-Quran melalui kerjasama strategik bersama pertubuhan serta komuniti setempat. Inisiatif seumpama ini diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang bukan sahaja mahir membaca Al-Quran dengan baik dan bertajwid, malah menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Semoga majlis ini menjadi titik tolak kepada usaha yang lebih luas dalam menyemarakkan budaya ilmu Al-Quran serta melahirkan generasi yang dekat dengan Al-Quran, memahami kandungannya dan mengamalkan ajarannya.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca