Skip to main content

PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

SEMARAK SOLIDARITI PALESTIN, PERKASA PERANAN ANAK MUDA

KUALA NERUS, 18 September 2026 – Isu Palestin bukan sekadar konflik geopolitik, malah isu kemanusiaan sejagat yang menuntut keprihatinan dan solidariti berterusan, khususnya daripada generasi muda.

Sehubungan itu, Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama MyCARE Terengganu telah menganjurkan PISM-UMT Distinguished Public Lecture Siri Ke-11 bertajuk “Palestin: Kemanusiaan, Solidariti & Peranan Anak Muda” di Studio Al-Quran, PISM UMT.

Syarahan yang disampaikan oleh Dr. Hafidzi Mohd Noor, Penasihat Kehormat MyCARE Malaysia, mengetengahkan realiti krisis kemanusiaan di Palestin serta kepentingan solidariti dan peranan anak muda dalam memperjuangkan keadilan sejagat.

Dalam ucapan alu-aluan, Ketua PISM, Dr. Kasyfullah Abd Kadir menegaskan bahawa universiti bukan sekadar melahirkan graduan berkelayakan akademik, malah berperanan membentuk generasi yang berempati, berfikiran kritis dan peka terhadap tanggungjawab kemanusiaan.

Diperkenalkan sejak tahun 2021, siri syarahan ini terus menjadi platform intelektual PISM dalam memperkasa wacana ilmu dan isu semasa, sekali gus menjadikan masjid dan universiti sebagai medan pembinaan kesedaran serta pemikiran kritis.

Semoga perkongsian ini menyemarakkan solidariti terhadap Palestin dan mendorong mahasiswa menjadi ejen perubahan melalui ilmu, advokasi serta sokongan kemanusiaan yang berterusan.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca