KUALA NERUS, 20 September 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melabuhkan tirai penganjuran Kursus Pemerkasaan Al-Quran Berteraskan Sains dan Teknologi melalui Siri Ke-8 yang berlangsung di Studio Al-Quran, Masjid UMT.
Mengangkat tajuk “Adab dan Kepimpinan Guru Al-Quran”, siri terakhir ini memberi fokus kepada pembentukan peribadi, nilai adab serta peranan guru al-Quran sebagai qudwah dan pembimbing kepada pelajar dan masyarakat.
Peserta didedahkan kepada aspek akhlak, integriti, kesabaran, komunikasi serta tanggungjawab seorang guru dalam memperkukuh kompetensi sebagai pendidik al-Quran. Pendekatan turut menghubungkan nilai kepimpinan dengan penggunaan kaedah pengajaran yang inovatif dan perkembangan teknologi semasa.
Siri ini dikendalikan oleh Dr. Faiz bin Mohd Yasin, Felo Penyelidik PISM, menerusi pendekatan interdisiplin yang menggabungkan ilmu al-Quran, sains, teknologi dan pembangunan kompetensi pendidik.
Penganjuran Siri Ke-8 ini menjadi penutup kepada rangkaian Kursus Pemerkasaan Al-Quran Berteraskan Sains dan Teknologi yang dilaksanakan secara berperingkat. PISM berharap inisiatif ini dapat melahirkan guru al-Quran yang bukan sahaja kukuh ilmu dan tepat dalam bacaan, malah beradab, berintegriti serta mampu memimpin dan membimbing generasi akan datang.















