KUALA NERUS, 27 September 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menerima kunjungan Lawatan Mahabbah dan Sinergi Bahagian Hal Ehwal Islam (BHEI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang melibatkan seramai 66 orang warga BHEI UiTM dari seluruh Malaysia.
Lawatan tersebut diketuai oleh Ustaz Mohd Azri bin Aripin, Timbalan Pengarah Kanan yang menjalankan tugas Pengarah BHEI UiTM. Kunjungan ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwwah antara BHEI UiTM dengan PISM UMT, di samping membina jaringan strategik serta memperkukuh sinergi antara institusi pengajian tinggi dalam aspek pengurusan dan pengimarahan masjid serta pusat Islam.
Antara fokus utama lawatan adalah perkongsian pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik berkaitan pengurusan masjid, hal ehwal Islam serta pelaksanaan program pembangunan kerohanian warga universiti.
Program turut diisi dengan sesi pembentangan mengenai aktiviti dan peranan PISM UMT yang memberikan pendedahan kepada delegasi BHEI UiTM tentang pendekatan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif dalam menyokong pembangunan kerohanian, pembentukan sahsiah dan kesejahteraan warga universiti serta komuniti setempat.
Sesi pembentangan tersebut kemudiannya diteruskan dengan sesi soal jawab dan perkongsian dua hala yang membuka ruang kepada kedua-dua institusi untuk bertukar pandangan, pengalaman serta amalan terbaik dalam pengurusan dan pelaksanaan aktiviti hal ehwal Islam.
PISM UMT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada delegasi BHEI UiTM atas kunjungan serta perkongsian yang bermakna. Diharapkan jalinan mahabbah yang terjalin ini dapat terus diperkukuh melalui kerjasama strategik dan pelaksanaan program bersama pada masa akan datang.
Usaha ini selaras dengan komitmen PISM dalam memperluas jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, sekali gus memperkasa agenda pengimarahan masjid dan pembangunan kerohanian warga universiti.
“Bersama Memperkasa Pengimarahan, Menyemai Kerohanian.”















