KUALA NERUS, 30 September 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menerima kunjungan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman UMT (JPKK) dan Jawatankuasa Perwakilan Luar Kampus UMT (JPLK) dalam satu lawatan rasmi yang berlangsung di Studio Al-Quran, PISM, UMT.
Lawatan tersebut bertujuan memperkenalkan peranan, fungsi serta aktiviti PISM kepada barisan kepimpinan mahasiswa, di samping membuka ruang untuk membina hubungan dan jaringan kerjasama yang lebih erat antara PISM dengan mahasiswa, khususnya penghuni kolej kediaman yang terletak berdekatan dengan Masjid UMT.
Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dr. Kasyfullah bin Abd Kadir, Ketua Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT, diikuti ucapan daripada Cik Nur Ariesha binti Ghaffar, Yang Di-Pertua JPKK dan Cik Umairah Taqiah binti Jamsari, Yang Di-Pertua JPLK.
Sesi diteruskan dengan pembentangan berkaitan aktiviti dan peranan PISM, JPLK serta JPKK, sebelum diakhiri dengan sesi soal jawab dan perkongsian dua hala. Sesi ini memberikan peluang kepada para mahasiswa untuk mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai peranan PISM dalam aspek pembangunan sahsiah, pengimarahan masjid dan penglibatan mahasiswa dalam pelbagai aktiviti kerohanian.
Penganjuran lawatan ini mencerminkan komitmen PISM dalam memperkukuh hubungan strategik bersama kepimpinan mahasiswa serta memperluas ruang penglibatan pelajar dalam agenda pengimarahan masjid dan pembangunan komuniti kampus.
Diharapkan kunjungan ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak sinergi dan kolaborasi antara PISM dengan kepimpinan mahasiswa dalam menjayakan agenda pembangunan mahasiswa yang holistik serta berteraskan nilai-nilai Islam.









