PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

Kem Bijak Aulad Sesi Januari 2025

Pengalaman Berharga Kem Bijak Aulad sempena cuti sekolah di Masjid UMT

Seramai 45 orang anak-anak warga UMT dan komuniti setempat telah menyertai Kem Bijak Aulad yang diadakan bersempena cuti sekolah selama lima (5) hari bermula 19 hingga 23 Januari 2025 di Masjid UMT. 

Dengan tema Road To Ramadhan, para peserta telah mendapat pengalaman berharga daripada pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan. 

Kem Bijak Aulad pada kali ini diadakan bertujuan memberi peluang kepada anak-anak warga UMT dan komuniti setempat untuk memanfaatkan cuti sekolah dengan aktiviti menarik. Selain itu program ini juga diadakan sebagai persediaan untuk para peserta menyambut bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi. 

HARI PERTAMA

Pada hari pertama, selepas sesi taaruf dan ice breaking, bagi membangkitkan motivasi  peserta untuk terus bersemangat, program dimulakan dengan pengenalan kepada bulan Ramadhan bertajuk Muqaddimah Ramadhan yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Farhan Othman.  Sesi seterusnya diteruskan dengan kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan dalam slot Madrasah Ramadhan yang disampaikan  oleh Ustaz Mohd Syafiq Alias.

HARI KEDUA

Pada hari kedua, peserta program dibawa menyelusuri penceritaan kisah peperangan pertama dalam Islam iaitu peperangan Badar, yang berlaku pada bulan Ramadhan. Hasil daripada kisah peperangan ini, peserta telah dapat mengambil ibrah yang banyak dari perjuangan para sahabat nabi dalam mempertahankan Islam. 

Selain pengisian ilmiah, program ini juga berjaya mencungkil bakat yang terpendam peserta melalui aktiviti Merekabentuk Tabung Infaq Ramadhan.  Tabung ini dibawa balik oleh para peserta untuk membudayakan amalan bersedekah di rumah masing-masing pada bulan Ramadhan. 

Tidak lengkap pengisian Ramadhan tanpa membicarakan tentang malam istimewa yang lebih baik dari seribu bulan iaitu Lailatul Qadr. Justeru, sesi Santapan Rohani bertajuk The Power Of Lailatul Qadr telah disampaikan oleh Ustazah Faizah Ismail dengan mengajak peserta bertadabbur ayat-ayat Al-Quran dari Surah Al-Qadr. 

HARI KETIGA

Hari ketiga Kem Bijak Aulad diteruskan dengan aktiviti-aktiviti luar yang mencabar.  Para peserta pada hari ini menterjemahkan ibrah peperangan Badar dengan aktiviti memanah, seolah-olah mereka berada di medan peperangan yang sebenar. Dalam program ini peserta turut dibimbing oleh Ustaz Naim Rafizi Rahman untuk menghafaz ayat-ayat lazim di dalam Al-Quran. 

Kemeriahan program semakin bertambah dengan pertandingan Masterchef Cilik.  Peserta perlu menyediakan menu sahur yang paling kreatif dengan bahan-bahan yang telah disediakan. 

HARI KEEMPAT

Pada hari keempat, Mini Zoo Taman Tamadun Islam menjadi pilihan untuk lawatan ke luar UMT kepada peserta kem ini.   Keseronokan jelas terpancar pada setiap wajah-wajah mereka apabila berpeluang untuk mendekati haiwan-haiwan dari spesis yang jarang dijumpai. Peserta juga berpeluang berukhuwwah dan berkenal-kenalan sesama peserta sepanjang aktiviti dilaksanakan.  

HARI KELIMA 

Mengakhiri kem pada hari terakhir, Explorace Ramadhan diadakan sebagai penutup Kem Bijak Aulad pada kali ini bagi memberikan pengalaman beriadah di sekitar kampus UMT.  

Hasil maklum balas beberapa orang peserta mengakui gembira dengan pengalaman yang dilalui kerana kem ini penuh dengan aktiviti menarik, dapat mengenal rakan-rakan baru dari pelbagai sekolah lain selain mengisi masa cuti sekolah selama seminggu di Masjid UMT.  

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca