Festival Ramadan 1446H erat hubungan silatutrahim warga kampus dan komuniti
Festival Ramadan Masjid UMT pada tahun ini telah melakar kejayaan yang sangat bermakna, bukan sahaja dalam usaha mengimarahkan bulan mulia ini, malah dalam memperkukuhkan hubungan silaturrahim antara warga kampus dan komuniti luar. Penganjuran program ini telah memberi impak besar kepada pembangunan sahsiah mahasiswa, perpaduan masyarakat, serta pengukuhan peranan Masjid UMT sebagai pusat komuniti yang aktif dan prihatin.
Sepanjang Ramadan, sebanyak 7 aktiviti utama berjaya dilaksanakan, melibatkan pengisian rohani seperti solat tarawih, tadarus al-Quran, iftar jamaie sebanyak 10,860 hidangan, dan Lestari Ramadan yang disampaikan oleh Sohibus Samahah Mufti Negeri Terengganu serta penganjuran yang istimewa seperti Iftar Perdana bersama Naib Canselor dan Program Jom Kuca Bubur Lambuk serta agihan bubur lambuk kepada warga dan masyarakat setempat. Kehadiran yang terdiri daripada mahasiswa, staf UMT dan komuniti sekitar ini telah menjadi bukti yang jelas bahawa Masjid UMT terus menjadi pusat perpaduan dan penyantun ummah dalam erti kata sebenar.
Dari sudut kebajikan, sebanyak RM115,265.13 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan daripada pelbagai pihak, dan sebahagian diagihkan kepada 50 orang penerima asnaf terpilih. Ini menjadi satu usaha murni yang telah menyuburkan budaya memberi dan empati dalam kalangan warga universiti.
Lebih membanggakan, seramai 50 orang mahasiswa yang terdiri daripada 6 kelab yang berada di bawah naungan Pusat Islam Sultan Mahmud telah terlibat secara aktif sebagai sukarelawan dan penggerak program, yang bukan sahaja membantu dari segi logistik, malah turut memupuk kemahiran kepimpinan, kerjasama berpasukan dan rasa tanggungjawab sosial dalam diri mereka.
Melalui penganjuran Festival Ramadan ini, pihak universiti bukan sahaja berjaya memperkasa peranan masjid sebagai pusat ibadah, tetapi juga sebagai pusat kecemerlangan sahsiah, jaringan sosial dan penghubung erat antara universiti dengan komuniti luar. Impak positif ini membuktikan bahawa usaha sebegini amat bertepatan dengan aspirasi UMT untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga berjiwa insani, prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.
UMT amat berbesar hati melihat sambutan dan penglibatan semua pihak, dan komited untuk meneruskan program-program sebegini di masa hadapan, demi membina sebuah komuniti kampus yang harmoni, berdaya saing dan berakhlak tinggi.
Oleh:
Ustaz Muhammad Farhan Othman
Ustazah Faizah Ismail
Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT






