KURSUS PERDANA HAJI 1446H HIMPUNKAN PARA DHUYUFURAHMAN SELURUH NEGERI TERENGGANU
Kuala Nerus, 10 April 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengalu-alukan kehadiran semua bakal jemaah haji, dhuyufurrahman ke Kursus Perdana Haji 1446H/ 2025 M peringkat negeri Terengganu bertempat di Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), UMT pada 11 dan 12 April 2025. Program anjuran Lembaga Tabung Haji Negeri Terengganu dengan kerjasama UMT ini merupakan kali ke4 berturut-turut sejak tahun 2022.
PISM UMT melalui ketuanya, Dr Kasyfullah bin Abdul Kadir berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima tawaran kerjasama untuk kebaikan ummah.
“Pusat Islam Sultan Mahmud merupakan institusi agama yang menjadi pusat aktiviti ibadat bagi pelajar, staf mahupun orang awam. Kursus persediaan kepada bakal Jemaah haji yang dianjurkan di sini juga bertepatan dengan keperluan dari segi kemudahan fasiliti, ruang, keselesaan dan mesra Jemaah”.
Menurut beliau lagi, seramai 2100 orang peserta bakal haji yang terpilih bakal berhimpun di PISM bagi mengukuhkan kefahaman bakal haji terhadap pelaksanaan ibadat haji dan memberikan maklumat mutakhir berhubung pengurusan haji sama ada di tanah air mahupun di tanah suci.
“Program dimulakan dengan taklimat yang akan disampaikan oleh Tabung Haji. Bakal haji dikehendaki bersedia dengan keperluan kursus semasa sesi praktikal termasuklah kain ihram, telekung, uncang beserta 70 biji anak batu. Selain itu, kelengkapan lain seperti sejadah, tikar dan botol untuk tujuan berwuduk juga diperlukan,” ujar Dr Kasyfullah.
Kursus pratikal ibadat umrah dimulakan dengan tawaf, saei dan tahallul manakala praktikal ibadat haji yang melibatkan wukuf di Mudzalifah, Mina dan melontar jamrah serta tahallul Awwal dan Tahallul Thani ibadat haji.
Bakal jemaah haji diberikan simulasi dengan mengerjakan setiap pergerakan di tempat yang telah disediakan khas bagi memberikan gambaran yang lebih jelas.
Majlis perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Terengganu Musim 1446H/2025 M telah disempurnakan oleh YB Haji Hishamuddin bin Abdul karim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu.
UMT sentiasa mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk mengimarah masjid dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama. Program ini bukan sahaja telah memberikan peluang kepada UMT untuk menyantuni bakal haji malah memberikan peluang kepada warga UMT juga untuk menyumbang khidmat bakti sebagai sukarelawan haji.
Disediakan oleh:
Pusat Islam Sultan Mahmud
Universiti Malaysia Terengganu
10 April 2025








