Setiap surat yang diterima membawa tujuan dan mesej tertentu daripada pengirim kepada penerima. Sebagai contoh, surat jemputan menyampaikan harapan untuk kehadiran, surat saman memberikan peringatan penting, manakala surat penghargaan menyampaikan ucapan terima kasih. Begitu juga, kitab suci Al-Quran, yang mengandungi 114 surah yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW dan seluruh umat manusia, mempunyai mesej yang mendalam dan memerlukan perhatian untuk memahami sebab penurunannya dan hikmah yang terkandung.
Pada zaman ini, amat penting bagi pembaca Al-Quran untuk memahami inti pati (ibrah) setiap surah secara ringkas tetapi mendalam. Dengan mengetahui sebab penurunan (asbabun nuzul) dan tema utama surah-surah, pembaca dapat menghayati isi kandungan Al-Quran yang penuh hikmah. Pemahaman ini memudahkan proses tadabbur dan menjadi panduan bermakna dalam kehidupan, selain mendorong pembentukan akhlak dan karakter mulia.
Al-Quran dimulai dengan Surah Al-Fatihah, yang menjadi pembuka kitab serta hati pembaca untuk memahami ajarannya. Surah seperti Al-Baqarah menekankan tanggungjawab umat Islam, Ali-‘Imran meneguhkan keimanan di jalan yang benar, manakala An-Nisa’ menyeru keadilan serta perlindungan golongan lemah. Al-Quran diakhiri dengan Surah An-Nas, yang merangkum nilai-nilai kemanusiaan berlandaskan Al-Quran, dicapai melalui perjalanan mendalam menelusuri 114 surah yang penuh inspirasi.
Ibrah 114 dirangka untuk membantu menambah kemahiran berinteraksi dengan al-Quran sebagaimana berikut:
Mengetahui tema dan tujuan setiap surah bagi memberi kesan erat dengan al-Quran.
Mendekati setiap surah sehingga perilaku dan karakter diri menyerupai nasihat-nasihat yang sedang disampaikan.
Memahami hubungan satu surah dengan satu surah yang lain yang bermanfaat dalam memahami kebesaran al-Quran, kejelasan mesejnya, keteraturan susunan dan gaya bahasanya.
Alhamdulillah, seminar sehari yang diadakan pada 2 Ogos 2025 bertempat di Auditorium 1, Kompleks Kuliah Pusat, UMT, telah berjaya menghimpunkan kira-kira 150 orang peserta bertadabbur dengan ayat-ayat Al-Quran yang mulia.
Panel jemputan iaitu Ustaz Syaari Abdul Rahman, Jurulatih Utama Tadabbur Centre, telah berjaya menarik minat peserta dari awal seminar sehingga berakhir pada sesi petang dengan resolusi untuk terus bertadabbur dengan Al-Quran melalui 7 pohon yang telah disampaikan.
Pusat Islam Sultan Mahmud merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Pertubuhan Sahabat Tadabbur Al-Quran Terengganu untuk kolaborasi program ini. PISM juga menyambut baik cadangan peserta untuk diadakan lagi seminar seumpama ini di masa akan datang.
Pusat Islam Sultan Mahmud,
Universiti Malaysia Terengganu













