Kuala Nerus, 11 September 2025 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan program Wacana Ilmu bertajuk “Cinta Nabi Asas Kecemerlangan” di Dewan Persidangan 2, UMTCC. Program yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu mendapat sambutan baik daripada warga universiti.
Penceramah jemputan, Prof. Madya Dr. Anas bin Mohd Yunus dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), menekankan bahawa kecemerlangan hidup seorang Muslim bermula dengan cinta kepada Rasulullah SAW. Beliau menjelaskan bahawa kecintaan kepada Nabi mesti diterjemahkan melalui amalan, akhlak mulia, dan usaha menegakkan syariat Islam.
Menurut beliau, cinta Nabi bukan sekadar kata-kata, tetapi asas kepada pembentukan peribadi unggul, keluarga sejahtera, dan masyarakat yang cemerlang. Peserta wacana juga diajak untuk menghayati sunnah dalam kehidupan seharian sebagai panduan ke arah kecemerlangan.
Program ini memberi peluang kepada pelajar dan staf UMT untuk memperkukuh kefahaman mereka tentang peranan sunnah dalam kehidupan. Kehadiran yang ramai mencerminkan komitmen warga kampus dalam menjadikan budaya ilmu sebagai asas pembangunan sahsiah.
PISM UMT merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat. Semoga wacana ilmu ini terus menjadi wadah pencerahan rohani dan intelektual, serta melahirkan generasi berilmu dan berjiwa cinta kepada Rasulullah SAW.









