PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

Malam Munajat Perdana Doa Keselamatan Misi Global Sumud Flotilla

Kuala Nerus, 2 Oktober 2025 – Lebih 1,000 warga Universiti Malaysia Terengganu (UMT), termasuk mahasiswa baharu sesi 2025/2026, membanjiri Masjid UMT bagi menghadiri Malam Munajat Perdana anjuran Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM).

Program ini diadakan sebagai tanda kesyukuran dan doa selamat sempena pendaftaran pelajar baharu, di samping memohon keberkatan dan kekuatan untuk memulakan sesi pengajian dengan penuh iltizam. Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Munajat dan Solat Hajat agar warga kampus diberi ketenangan, kelapangan hati dan kemudahan dalam menuntut ilmu.

Doa khusus turut dipanjatkan bagi keselamatan Misi Global Sumud Flotilla, sebagai simbol solidariti warga UMT terhadap perjuangan kemanusiaan sejagat. Elemen ini mencerminkan semangat keprihatinan global yang diterapkan dalam kalangan mahasiswa.

Majlis turut menampilkan Ustaz Najmuddin Ulwan, Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Sukan Negeri Terengganu, yang menyampaikan Kuliah Maghrib Khas serta menitipkan pesanan rohani dan motivasi buat semua hadirin.

Menurut Dr. Kasyfullah bin Abdul Kadir, Ketua Pusat Islam Sultan Mahmud, penganjuran ini bukan sekadar menyambut kehadiran mahasiswa baharu, tetapi juga mengajak mereka menjadikan masjid sebagai pusat ilmu dan bimbingan rohani sepanjang kehidupan kampus.

Turut diadakan sesi pengenalan PISM dan Masjid UMT, termasuk peranan enam (6) sayap pelajar di bawah naungan PISM yang berperanan memperkasa pembangunan sahsiah dan jati diri mahasiswa UMT.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca