Tapak Konvo UMT, 27 Oktober 2025 – Program tahunan Malam Mawar anjuran Pusat Islam Sultan Mahmud UMT telah berlangsung dengan penuh penghayatan dan semangat solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin. Program ini merupakan antara pengisian utama Festival Konvokesyen UMT 2025 yang sentiasa dinanti-nantikan saban tahun.
Program Malam Mawar UMT 2025 menampilkan tetamu jemputan khas, Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, salah seorang peserta Misi Freedom Flotilla ke Gaza, yang berkongsi pengalaman dan pengorbanan beliau ketika menyertai misi kemanusiaan antarabangsa tersebut. Perkongsian beliau menyentuh hati para hadirin dengan kisah keberanian dan perjuangan rakyat Palestin menentang kezaliman.
Majlis turut diserikan dengan perarakan solidariti Palestin dari Pusat Islam Sultan Mahmud UMT menuju ke Tapak Festival Konvokesyen UMT, disertai oleh warga universiti dan komuniti setempat. Perarakan ini menjadi simbol sokongan dan kesatuan hati warga UMT terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Antara pengisian menarik pada malam tersebut ialah persembahan kesenian Islam oleh kumpulan Ilhaam Voices, yang mempersembahkan lagu-lagu dakwah dan ketuhanan penuh penghayatan, mencipta suasana syahdu dan menyentuh jiwa.
Penganjuran Malam Mawar 2025 bukan sekadar acara tahunan, tetapi menjadi wadah untuk menyuburkan kesedaran kemanusiaan, memupuk semangat ukhuwah ummah, dan menzahirkan sokongan moral terhadap Palestin dalam kalangan warga UMT serta masyarakat sekitar.
Pihak PISM UMT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir dan menyumbang dalam menjayakan program ini. Semoga usaha kecil ini menjadi amal soleh yang diterima di sisi Allah SWT dan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.










