KUALA NERUS, 11 Februari 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Daurah Fiqh Puasa bertempat di Studio Al-Quran PISM sebagai persiapan ilmiah dalam menyambut ketibaan bulan Ramadan yang bakal menjelang.
Program ini menampilkan tokoh ilmuan yang tidak asing lagi iaitu Prof. Dato’ Dr. Haji Zulkifly bin Muda, Mantan Mufti Negeri Terengganu, sebagai penceramah jemputan. Penyampaian beliau yang jelas, santai serta penuh hikmah berjaya menarik perhatian para peserta sepanjang sesi berlangsung.
Antara pengisian utama daurah adalah perbahasan berkaitan hukum-hakam puasa, perkara yang membatalkan puasa, rukhsah ketika berpuasa serta amalan sunat yang dapat menyempurnakan ibadah Ramadan. Para peserta turut didedahkan dengan pelbagai isu fiqh semasa yang sering menjadi persoalan dalam masyarakat agar dapat melaksanakan ibadah puasa dengan lebih yakin dan tepat.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga kampus serta masyarakat setempat yang hadir bagi menambah ilmu pengetahuan sebagai persediaan menghadapi Ramadan.
Penganjuran program ini diharapkan dapat memberi manfaat berterusan kepada para peserta serta menjadi medium meningkatkan kefahaman ibadah, sekali gus membantu melahirkan masyarakat yang lebih bersedia untuk melaksanakan ibadah puasa dengan penuh penghayatan.









