KUALA NERUS, 9 Mac 2026 – Sempena Sambutan 25 Tahun Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) telah menganjurkan Program Rewang Kuih Tradisional di perkarangan Masjid UMT yang menghimpunkan warga universiti dan komuniti setempat dalam suasana penuh muafakat dan kebersamaan.
Program ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMT yang turut menyertai aktiviti rewang bersama para peserta sebagai simbol sokongan terhadap usaha memelihara warisan budaya masyarakat Melayu. Keistimewaan program ini ialah penyediaan 25 jenis kuih tradisional, bertepatan dengan sambutan Jubli Perak 25 Tahun UMT.
Penganjuran program merupakan hasil kerjasama Persatuan Kebajikan Staf Akademik (PASAK), Persatuan Pentadbir dan Ikhtisas UMT (PERENTAS), Kesatuan Kakitangan Am UMT (KUAT), Kelab Wanita UMT (MUTIARA), Kelab Canselori, Pusat Aktiviti Warga Emas Kuala Nerus (PAWE) serta Sukarelawan Ramadan Masjid UMT.
Melalui aktiviti gotong-royong ini, para peserta berganding bahu menyediakan pelbagai kuih tradisional sambil menghidupkan semula budaya rewang yang menjadi warisan masyarakat. Program ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim antara warga UMT dan komuniti, malah menjadi platform memperkenalkan serta memelihara warisan kuih tradisional kepada generasi muda.
Program Rewang Kuih Tradisional ini mencerminkan semangat kebersamaan dan nilai kekitaan yang menjadi antara pengisian bermakna dalam sambutan 25 Tahun Universiti Malaysia Terengganu, selaras dengan aspirasi universiti untuk terus memperkukuh hubungan dengan komuniti melalui penghayatan budaya dan nilai murni.










































