Skip to main content

PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

ENAM KELAB SAYAP PISM LAKSANA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN, PERKASA KESINAMBUNGAN KEPIMPINAN MAHASISWA

KUALA NERUS, 6–10 Oktober 2026 – Enam kelab sayap mahasiswa di bawah seliaan Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi sesi 2025/2026 sebagai usaha memperkukuh pengurusan organisasi, kesinambungan kepimpinan dan gerak kerja dakwah mahasiswa di UMT.

Enam kelab yang terlibat ialah Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) UMT, Kelab Muslim Youth Volunteer (MYV) UMT, Rakan Siswa YADIM (RSY) UMT, Kelab Sahabat Masjid (SAHAM) UMT, MyUsrah UMT dan ILHAAM UMT. Mesyuarat telah dilaksanakan mengikut ketetapan masing-masing, dengan empat mesyuarat berlangsung di Studio Al-Quran, PISM UMT, manakala AGM MyUsrah UMT dilaksanakan secara dalam talian.

Antara agenda utama mesyuarat adalah pembentangan laporan aktiviti dan kewangan sepanjang sesi 2025/2026, penilaian pencapaian organisasi serta perancangan hala tuju bagi sesi baharu. Mesyuarat ini turut menjadi platform penyerahan mandat dan pelantikan barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2026/2027.

Pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan ini bukan sahaja memenuhi keperluan pengurusan organisasi, malah menjadi ruang muhasabah terhadap perjalanan kepimpinan terdahulu serta peluang kepada barisan kepimpinan baharu untuk membawa idea dan pendekatan segar dalam memperkasa aktiviti mahasiswa.

Setiap kelab memainkan peranan tersendiri dalam menyokong agenda pembangunan mahasiswa PISM. PERKIM UMT memberi tumpuan kepada pengukuhan ukhuwah, kebajikan dan dakwah Islamiah, manakala MYV UMT menggerakkan aktiviti kebajikan dan kesukarelawanan. RSY UMT pula memperkasa gerakan dakwah mahasiswa, SAHAM UMT memfokuskan pengimarahan masjid dan pembinaan sahsiah, sementara MyUsrah UMT memberi penekanan kepada tarbiah, usrah dan pembangunan kerohanian mahasiswa.

Penganjuran AGM ini mencerminkan komitmen PISM UMT dalam memperkasa kelab-kelab sayap mahasiswa sebagai rakan strategik bagi menggerakkan agenda dakwah, kebajikan, kesukarelawanan dan pembangunan sahsiah di peringkat universiti. Kesinambungan kepimpinan yang terancang diharapkan dapat melahirkan mahasiswa yang berwibawa, berintegriti dan mempunyai semangat kepimpinan serta kesukarelawanan yang tinggi.

PISM UMT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan penasihat, kepimpinan terdahulu, jawatankuasa pelaksana dan seluruh ahli kelab atas komitmen serta sumbangan yang diberikan sepanjang sesi 2025/2026. Tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada semua barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2026/2027.

Semoga kesinambungan gerak kerja enam kelab sayap ini terus memperkukuh peranan PISM sebagai pusat ibadah, dakwah, ilmu dan pembangunan mahasiswa, sekali gus menyemarakkan syiar Islam dalam kalangan warga Universiti Malaysia Terengganu.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca