Skip to main content

PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

MAJLIS SOLAT HAJAT DAN BACAAN YASIN DI MASJID UMT MOHON KEMUDAHAN PELAJAR DIPLOMA PERIKANAN MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR

KUALA NERUS, 15 Oktober 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin sempena Peperiksaan Akhir Diploma Perikanan yang berlangsung selepas solat Maghrib bertempat di Masjid UMT.

Majlis tersebut dipimpin oleh Saudara Wan Muhammad Irfan bin Wan Alimy, Bilal Rawatib Masjid UMT dengan pengisian bacaan Surah Yasin dan solat hajat sebagai usaha memohon keberkatan, ketenangan hati serta kemudahan urusan buat para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan akhir.

Penganjuran majlis ini merupakan salah satu inisiatif dalam menyemarakkan pengimarahan Masjid UMT, di samping menyokong kesejahteraan rohani dan pembangunan akademik mahasiswa. Pengisian kerohanian seumpama ini turut menjadi ruang untuk para pelajar bermunajat dan memohon pertolongan Allah SWT agar segala usaha serta persediaan yang telah dilakukan memperoleh keberkatan.

PISM berharap agar seluruh pelajar Diploma Perikanan dikurniakan ketenangan ketika menjawab soalan, dipermudahkan segala urusan serta memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akhir. Semoga segala ilmu yang dipelajari menjadi manfaat dan bekalan kejayaan pada masa hadapan.

Sesungguhnya usaha, doa dan tawakal merupakan antara elemen penting dalam menempuh perjalanan menuntut ilmu. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati segala usaha dan mengurniakan kejayaan kepada seluruh pelajar Diploma Perikanan.

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلَّا مَا جَعَلْتَهُ سَهْلًا

Ya Allah, tiada sesuatu yang mudah melainkan apa yang Engkau jadikannya mudah.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca