KUALA NERUS, 10 November 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud UMT telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Enam (6) Sayap PISM Kali Pertama (Bilangan 1/2026) bagi memperkukuh penyelarasan gerak kerja, perancangan dan pelaksanaan aktiviti enam sayap mahasiswa di bawah PISM.
Mesyuarat yang berlangsung pada 10 November 2026 itu dipengerusikan oleh Dr. Kasyfullah bin Abd Kadir, Ketua Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT dan dihadiri oleh enam orang presiden sayap serta penasihat-penasihat sayap.
Antara agenda utama yang dibincangkan termasuklah penggunaan bilik aktiviti pelajar, perancangan dan pelaksanaan program anjuran enam sayap, penyelarasan takwim serta perancangan aktiviti secara bersepadu dan penggunaan sistem e-Program Pelajar bagi memantapkan pengurusan serta pemantauan aktiviti mahasiswa.
Penubuhan platform penyelarasan ini diharap dapat memperkukuh kerjasama antara enam sayap PISM, mengoptimumkan penggunaan kemudahan yang disediakan serta mengelakkan pertindihan program. Malah, ia menjadi ruang untuk menyatukan idea, bakat dan kepimpinan mahasiswa dalam menggerakkan agenda pengimarahan masjid dan pembangunan sahsiah mahasiswa.
PISM komited untuk terus memperkasa peranan sayap mahasiswa sebagai rakan strategik dalam melahirkan generasi mahasiswa yang berilmu, berakhlak, berdaya kepimpinan dan aktif menyumbang kepada pembangunan ummah.
Satu Hati, Satu Gerak Kerja, Satu Aspirasi.










