Kuala Nerus, 4 Oktober 2025 – Majlis Maulid Adhiya Ulami’ anjuran Persatuan Halaqah Al-Quran & Tahsin Tilawah Bestari dengan kerjasama Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berlangsung dengan penuh keberkatan di Kompleks Kuliah Pusat, UMT.
Program ini diadakan sempena Majlis Penutup Tahsin Halaqah Jelajah Negeri Terengganu yang berlangsung dari 1 hingga 4 Oktober 2025.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Dr. Kasyfullah bin Abd Kadir, Ketua Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT.
Seramai 250 orang peserta wanita hadir memeriahkan majlis yang dipimpin oleh Ustazah Hajah Nawiyah Abu, Pengerusi Persatuan Halaqah Al-Quran, bersama Firqah Serikandi Ezzahra.
Program ini bukan sahaja menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW, malah menjadi wadah memperkukuh ukhuwwah dan semangat penghayatan Al-Quran dalam kalangan peserta.








