PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

Menghayati Warisan Alam di Pulau Redang

Pulau Redang, 6 Oktober 2025 – Delegasi Pengarah-Pengarah Pusat Islam Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia yang menghadiri mesyuarat di Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah meneruskan aktiviti Program Survival Laut dan Penghayatan Warisan di Chagar Hutang, Pulau Redang.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang khazanah maritim dan kelestarian alam sekitar laut Terengganu, di samping menghayati peranan manusia sebagai khalifah dalam memelihara ciptaan Allah SWT.

Sepanjang program, para peserta berpeluang meneroka keindahan perairan Pulau Redang, mengikuti aktiviti air berasaskan keselamatan dan survival laut, serta menyaksikan sendiri proses penetasan anak penyu di tapak konservasi Chagar Hutang.
Peserta turut berpeluang mengutip anak-anak penyu yang baru menetas dari bawah pasir dan mengumpulkannya sebagai sebahagian daripada aktiviti pemuliharaan yang dikendalikan oleh pasukan penyelidik dan sukarelawan UMT Turtle Conservation Project.

Aktiviti ini bukan sahaja memperkukuh ukhuwah dan semangat kebersamaan antara pengarah-pengarah pusat Islam IPT Malaysia, malah memberi ruang untuk menghayati nilai amanah, tanggungjawab dan kecintaan terhadap alam sekitar sebagai sebahagian daripada pendekatan dakwah dan tarbiah Islam yang menyeluruh.

PISM UMT sebagai penganjur bersama menzahirkan penghargaan kepada semua ahli delegasi serta pihak pengurusan UMT Turtle Conservation Project atas kerjasama menjayakan program ini dengan cemerlang.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca