PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

PISM Anjur TOT Guru Al-Quran Berteraskan Sains & Teknologi

Kuala Nerus, 12 Oktober 2025 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus menerajui inovasi pendidikan Islam dengan penganjuran Program Training of Trainers (TOT) Guru Al-Quran dengan Pendekatan Sains dan Teknologi.

Program ini bertujuan memperkasa para guru al-Quran dengan kemahiran mengintegrasikan elemen sains dan teknologi dalam pengajaran agar lebih menarik, berkesan dan sesuai dengan keperluan generasi digital masa kini.

Menurut Dr. Kasyfullah bin Abd Kadir, Ketua Pusat Islam Sultan Mahmud, pendekatan berasaskan sains dan teknologi ini mampu menjadikan pengajaran al-Quran lebih interaktif dan relevan dengan dunia moden tanpa mengabaikan nilai-nilai Islam yang asli.

Seramai 64 orang guru al-Quran dari seluruh Terengganu telah menyertai program TOT ini yang akan dijalankan dalam lapan (8) siri latihan. Program ini dikendalikan oleh Dr. Mohd Faiz Mohd Yasin, Felo Penyelidik PISM UMT, menggunakan modul latihan eksklusif yang dibangunkan sendiri oleh beliau.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Kasyfullah bin Abd Kadir, manakala Encik Ahmad Zaidi bin Mustaffa, Pengerusi Pertubuhan Sahabat Al-Quran Negeri Terengganu turut hadir bagi memberikan sokongan.

Melalui program ini, PISM berhasrat membentuk komuniti pendidik al-Quran profesional, inovatif dan celik teknologi digital yang mampu menjadi rujukan kepada masyarakat serta institusi pendidikan Islam di peringkat negeri dan kebangsaan.

Penganjuran TOT ini juga menegaskan komitmen PISM UMT dalam memacu pendidikan al-Quran berasaskan ilmu, nilai dan teknologi, seiring dengan cabaran abad ke-21.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca