Kuala Nerus, 23 Oktober 2025 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berbesar hati menerima kunjungan daripada Sekolah Kebangsaan Tanjong Gading, Johor dalam program Lawatan Bermaklumat ke UMT yang diadakan di Studio Al-Quran, PISM.
Seramai 32 orang murid bersama 5 orang guru pengiring yang diketuai oleh Cikgu Nurmazdiah binti Mahzan hadir dalam lawatan ini yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah rendah tentang suasana pembelajaran di universiti serta memupuk minat terhadap bidang sains, marin dan teknologi.
Selain aktiviti bersama di Studio Al-Quran, para peserta turut berpeluang melawat beberapa lokasi penting di dalam kampus UMT termasuk Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, Galeri Penyelidikan INOS, dan Galeri Digital Warisan Budaya. Mereka juga menyusuri sekitar kawasan Masjid UMT bagi mengenali peranan masjid universiti sebagai pusat pembangunan rohani dan ilmu.
Lawatan setengah hari ini bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung di persekitaran universiti, malah memperkenalkan pelajar kepada kepelbagaian bidang ilmu dan suasana kehidupan kampus yang menyeronokkan.
PISM UMT mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Sekolah Kebangsaan Tanjong Gading, Johor atas kunjungan ini. Semoga program seumpama ini dapat diteruskan bagi memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mencintai ilmu.











