Jerteh, 13–15 November 2025 – Kem Kepimpinan Islam Mahasiswa UMT Fasa 2 anjuran Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) telah berlangsung dengan penuh bersemangat di Lata Kolam Air Deru Ecopark, Jerteh, melibatkan penyertaan barisan kepimpinan mahasiswa Islam Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Kem tiga hari dua malam ini merupakan kesinambungan daripada Fasa 1 yang diadakan pada awal bulan November, dan memberi tumpuan kepada latihan praktikal kepimpinan, pembinaan karakter serta pengukuhan semangat berpasukan dalam kalangan peserta.
Seawal hari pertama, peserta melalui pelbagai modul seperti Ice Breakers, Paintball Challenge, dan Water Confidence, yang menekankan elemen komunikasi, strategi dan kepercayaan diri. Pada waktu malam, mereka mengikuti solat berjemaah, bacaan Yasin serta perkongsian motivasi kepimpinan oleh Dr. Kasyfullah bin Abd Kadir, Ketua PISM, sebelum meneruskan aktiviti Night Walk yang menguji ketenangan dan fokus dalam suasana malam.
Hari kedua menyaksikan penganjuran Flora & Fauna Exploration/Survival, modul berasaskan alam semula jadi yang menguji daya tahan fizikal dan mental sambil memupuk kerja berpasukan. Pada sebelah malam, peserta berpeluang mengikuti Malam Bersama Penasihat, sesi santai namun bermakna yang memperkukuh hubungan antara peserta dan penasihat sayap PISM.
Hari terakhir diisi dengan Mini Olympic, aktiviti berkonsepkan sukan berpasukan yang menonjolkan semangat kepimpinan, strategi dan kolaborasi dalam suasana pertandingan yang sihat. Program diakhiri dengan Majlis Penutup Rasmi yang disempurnakan oleh Dr. Kasyfullah, yang menzahirkan penghargaan atas komitmen semua peserta serta menyeru agar nilai-nilai disiplin, integriti dan ukhuwah yang diasah sepanjang kem dapat diterjemahkan dalam kepimpinan di kampus.
PISM menaruh keyakinan bahawa barisan mahasiswa Islam ini akan menjadi penggerak utama budaya ilmu, adab dan kesukarelawanan, seterusnya memimpin komuniti kampus ke arah suasana yang lebih sejahtera dan berdaya saing.












































