PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

MYV KASIH: REZEKI UNTUK SEMUA BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN DI BANDARAYA KUALA TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 20 Disember 2025 – Kelab Muslim Youth Volunteer (MYV), Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Program MYV Kasih: Rezeki Untuk Semua bertempat di Terminal Bas MBKT, Bandaraya Kuala Terengganu, pada hari Sabtu yang lalu.

Program kebajikan ini bertujuan membantu golongan gelandangan, orang awam serta pekerja harian melalui pengagihan makanan dan minuman. Inisiatif ini juga dilaksanakan sebagai usaha memupuk nilai keprihatinan, empati dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa UMT, selari dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, bahkan prihatin terhadap masyarakat.

Seramai 10 orang Ahli Jawatankuasa MYV telah terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini. Pengagihan sumbangan bermula pada jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari mengikut tentatif yang dirancang. Sepanjang tempoh tersebut, seramai 40 orang penerima telah menerima sumbangan makanan dan minuman yang diagihkan.

Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dengan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan di sekitar bandaraya Kuala Terengganu. Program ini turut mendapat maklum balas yang positif daripada masyarakat setempat yang menyambut baik usaha kebajikan yang dilaksanakan.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Penasihat Kelab MYV, Encik Abdul Rahim bin Hj. Uzip @ Othman atas sokongan moral, nasihat serta bimbingan yang diberikan sepanjang pelaksanaan program ini.

Semoga program kebajikan seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai tanda komitmen Pusat Islam Sultan Mahmud dan mahasiswa UMT dalam menyantuni masyarakat serta menyebarkan nilai rahmah dalam kehidupan bermasyarakat.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca