PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

MERANCANG HIDUP DENGAN MINDA AKHIRAT HIMPUNKAN LEBIH 100 PESERTA DI PISM UMT

Studio Al-Quran PISM UMT, 30 Disember – Lebih 100 peserta telah menghadiri program sempena ambang tahun baharu bertajuk Merancang Hidup dengan Minda Akhirat yang berlangsung di Studio Al-Quran, Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Program ini merupakan anjuran bersama Pertubuhan Sahabat Tadabbur Al-Quran Terengganu (PSTQ), Pusat Islam Sultan Mahmud UMT dan Rumah Ngaji Terengganu. Penganjuran program ini bertujuan mengajak masyarakat menilai semula hala tuju kehidupan dengan meletakkan akhirat sebagai matlamat utama, di samping merancang kehidupan dunia secara lebih tersusun dan berkat.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pusat Islam Sultan Mahmud, Dr Kasyfullah Abd Kadir yang dalam ucapannya menekankan kepentingan membina kehidupan berasaskan panduan wahyu serta kesedaran tentang tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah SWT.

Perkongsian ilmu telah disampaikan oleh Tuan Fazrul Ismail, Pentadabbur MyQuran Time TV Al-Hijrah yang juga merupakan Jurulatih Utama Akademi Sinergi Ikhlas. Beliau telah mengendalikan dua slot utama bertajuk Reset Minda Akhirat serta Merancang Hidup, Rezeki dan Amal: Ibrah daripada Surah As-Saff. Pengisian yang disampaikan memberi penekanan terhadap pembinaan jiwa, pengurusan rezeki serta perancangan amal berteraskan kefahaman al-Quran.

Bagi memberi peluang kepada khalayak yang lebih luas untuk turut serta, Pusat Islam Sultan Mahmud turut menyediakan siaran langsung program melalui saluran YouTube PISM TV.

Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Dr Zabidah Awang, Pengerusi Pertubuhan Sahabat Tadabbur Al-Quran Terengganu (PSTQ). Program ini diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada perubahan diri yang lebih baik serta menyemai kesedaran untuk merancang kehidupan berorientasikan akhirat dalam kalangan peserta.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca