PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

PROGRAM TERAPI ROHANI SEMPENA ISRAK MIKRAJ SENTUH KESEJAHTERAAN EMOSI WARGA UMT

KUALA NERUS, 14 Januari 2026 – Program Terapi Rohani bertemakan “Israk Mikraj: Journey Healing Emosi” anjuran Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berjaya dilaksanakan di Auditorium Sulaiman, Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ), UMT.

Program kerohanian UMT ini dianjurkan oleh Seksyen Pembangunan Syiar dan Kelestarian Pelajar PISM sebagai usaha menyemarakkan penghayatan peristiwa Israk dan Mikraj dalam kalangan warga universiti. Fokus utama program adalah memperkenalkan konsep solat sebagai terapi rohani yang berperanan dalam meningkatkan kesihatan mental, kestabilan emosi serta ketenangan jiwa mahasiswa.

Pengisian telah disampaikan oleh Da’i Izzhar Nazri, selebriti dakwah dan graduan psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dalam perkongsian beliau, penekanan diberikan kepada hubungan antara solat, psikologi Islam dan pengurusan tekanan emosi, khususnya dalam mendepani cabaran kehidupan mahasiswa masa kini.

Program Israk Mikraj UMT ini turut memberi ruang kepada peserta melakukan refleksi diri agar ibadah solat tidak sekadar menjadi rutin harian, tetapi benar-benar dihayati sebagai sumber kekuatan spiritual dan terapi penyembuhan emosi.

Sambutan yang menggalakkan daripada pelajar dan staf membuktikan bahawa program kerohanian dan kesihatan mental seperti ini amat relevan serta diperlukan dalam komuniti kampus. Penganjuran ini selari dengan komitmen Pusat Islam Sultan Mahmud UMT dalam memperkukuh pembangunan rohani dan keseimbangan emosi warga universiti.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca