KUALA NERUS, 25 Jun 2026 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memulakan Sambutan Jubli Perak dengan penganjuran Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin yang berlangsung di Masjid UMT pada pagi Khamis, menghimpunkan kira-kira 200 orang warga universiti dalam suasana penuh keinsafan dan kesyukuran.
Majlis ini menjadi pembuka tirai kepada program Sambutan Jubli Perak UMT, sekali gus menzahirkan rasa syukur atas perjalanan cemerlang universiti sepanjang 25 tahun serta memohon keberkatan, perlindungan dan petunjuk daripada Allah SWT agar UMT terus maju dan gemilang pada masa hadapan.
Program dimulakan dengan bacaan Surah Yasin yang disertai oleh warga UMT, diikuti dengan Solat Hajat bagi memohon kesejahteraan, kekuatan dan kejayaan yang berpanjangan kepada seluruh warga universiti serta kelangsungan kecemerlangan UMT sebagai institusi pendidikan tinggi yang terus menyumbang kepada pembangunan ilmu dan masyarakat. Majlis turut disertakan dengan bacaan tahlil ringkas bagi mendoakan warga UMT yang telah kembali ke rahmatullah sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka kepada universiti.
Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen UMT dalam mengimbangi kecemerlangan akademik dengan pengukuhan nilai-nilai spiritual, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan warga yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang kepakaran, malah memiliki jati diri dan sahsiah yang tinggi.
Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin ini diharapkan menjadi titik permulaan yang penuh keberkatan kepada Sambutan Jubli Perak UMT, sekali gus menyatukan seluruh warga universiti dalam semangat kesyukuran, ukhuwah dan iltizam untuk terus meneroka kecemerlangan demi masa depan universiti yang lebih gemilang.























