KUALA NERUS, 25 Jun – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) dengan kerjasama Pejabat Komunikasi Korporat (PKK) telah menganjurkan Forum Perdana Ehwal Islam bersempena Sambutan Jubli Perak UMT di Masjid UMT.
Bertemakan “Kalau Kail Panjang Sejengkal…”, forum ini menjadi platform perkongsian ilmu dan penghayatan nilai-nilai Islam dalam mendepani cabaran semasa. Forum menampilkan Dato’ Dr. Haji Zulkifly bin Muda (Mantan Mufti Terengganu), Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin (Pengarah YADIM Terengganu) dan Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzil bin Mohd Akhir (Pro Naib Canselor Strategi, Prestasi dan Korporat UMT), manakala sesi dikendalikan oleh Haji Zukiferee bin Ibrahim, Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat UMT.
Perbincangan memberi penekanan kepada kepentingan ilmu, hikmah dan strategi dalam menghadapi cabaran kehidupan, di samping menyorot peranan institusi pendidikan tinggi dalam melahirkan graduan yang cemerlang dari aspek akademik, sahsiah, integriti dan jati diri berteraskan nilai-nilai Islam.
Program ini turut mengeratkan hubungan antara warga universiti dan komuniti setempat melalui pengisian ilmiah yang bermanfaat. Penganjurannya mencerminkan komitmen UMT dalam memartabatkan budaya ilmu, memperkukuh nilai spiritual dan menyemai semangat kebersamaan sempena Sambutan Jubli Perak UMT.

















