Skip to main content

PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

KHUTBAH KHAS SEMARAKKAN SAMBUTAN JUBLI PERAK UMT

KUALA NERUS, 27 Jun – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) dan Pejabat Komunikasi Korporat (PKK) telah mengadakan Khutbah Khas bersempena Sambutan Jubli Perak UMT di Masjid UMT sebagai salah satu pengisian bagi menyemarakkan ulang tahun ke-25 penubuhan universiti.

Khutbah khas tersebut telah disampaikan oleh Tuan Haji Zukiferee bin Ibrahim, Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat UMT yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Masjid UMT. Dalam penyampaiannya, beliau mengajak seluruh warga universiti untuk mensyukuri nikmat serta kejayaan yang telah dikecapi sepanjang 25 tahun penubuhan UMT, di samping memperkukuh hubungan dengan Allah SWT sebagai asas kepada kelangsungan kecemerlangan institusi.

Beliau turut menekankan bahawa kecemerlangan sesebuah universiti bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik dan penyelidikan, malah perlu disertai dengan pembinaan sahsiah, penghayatan nilai integriti, amanah, budaya ilmu dan semangat kebersamaan dalam kalangan seluruh warga kampus.

Penganjuran khutbah khas ini bukan sahaja menjadi medium penyampaian peringatan dan nasihat kepada warga UMT, malah turut memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam dalam usaha membentuk komuniti universiti yang berilmu, berakhlak dan berintegriti.

Sebagai sebahagian daripada pengisian Sambutan Jubli Perak UMT, program ini mencerminkan komitmen universiti dalam mengimbangi kecemerlangan akademik dengan pengukuhan nilai spiritual, selaras dengan aspirasi UMT untuk terus melahirkan graduan dan warga universiti yang cemerlang, berdaya saing serta berteraskan nilai-nilai murni.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca