Skip to main content

PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

MALAM SIMFONI SAMUDERA SANTUNI WARGA UMT SEMPENA SAMBUTAN JUBLI PERAK UMT

KUALA NERUS, 26 Jun – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Malam Simfoni Samudera buat julung kalinya bersempena Sambutan Jubli Perak UMT sebagai platform menghimpunkan warga universiti dan komuniti dalam sebuah program yang menggabungkan elemen hiburan berteraskan nilai, inspirasi dan penghargaan terhadap perjalanan 25 tahun kecemerlangan universiti.

Program yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, UMT itu menghimpunkan kira-kira 1,500 warga universiti, pelajar dan masyarakat sekitar.

Kemuncak program menyaksikan persembahan daripada Kumpulan Nasyid INTEAM, yang mendendangkan lagu-lagu berunsurkan dakwah, motivasi dan ketuhanan sehingga menghidupkan suasana penuh penghayatan. Hadirin turut mengikuti Bicara Inspirasi oleh Naib Canselor UMT yang menyoroti perjalanan 25 tahun UMT sebagai institusi pengajian tinggi yang terus cemerlang dalam bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi serta agenda kelestarian dan ekonomi biru.

Program turut diserikan dengan persembahan ILHAM Voices UMT, persembahan khas pelajar baharu Diploma dan Asasi UMT serta sesi cabutan bertuah yang menambah kemeriahan sambutan.

Penganjuran Malam Simfoni Samudera bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim antara warga kampus dan komuniti, malah menjadi simbol penghargaan terhadap legasi Jubli Perak UMT serta menyuntik semangat kepada seluruh warga universiti untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca