KUALA NERUS, 25 Oktober 2026 – Tiga orang presiden kelab mahasiswa di bawah Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah dilantik menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar Masjid (MPPM) Kebangsaan bagi sesi 2026/2027 sempena Multaqa Kepimpinan Siswa Masjid Madani Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2026 yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Pelantikan tersebut melibatkan tiga pemimpin mahasiswa daripada sayap PISM, iaitu Nurul Syazwani binti Muhammad ‘Abdul Mu’min, Presiden Kelab Rakan Siswa YADIM (RSY), yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi II MPPM Kebangsaan.
Turut dilantik ialah Fatima Zahara binti Elias, Presiden Kelab Muslim Youth Volunteers (MYV), sebagai Timbalan Bendahari MPPM Kebangsaan, manakala Nur Afiqah Hanisah binti Ishak, Presiden Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Setiausaha MPPM Kebangsaan.
Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap potensi dan keupayaan kepimpinan mahasiswa UMT dalam menyumbang kepada pembangunan institusi masjid di peringkat kebangsaan. Ia juga mencerminkan komitmen PISM dalam melahirkan barisan kepimpinan mahasiswa yang berwibawa, berdaya saing serta mampu menggerakkan agenda dakwah dan pembangunan ummah.
MPPM Kebangsaan berperanan sebagai platform penyelarasan dan jaringan kepimpinan mahasiswa masjid di seluruh institusi pengajian tinggi Malaysia, khususnya dalam memperkukuh peranan masjid sebagai pusat pembangunan ilmu, pembinaan sahsiah, kebajikan dan aktiviti dakwah.
PISM UMT merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada ketiga-tiga presiden kelab atas pelantikan tersebut. Semoga amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan penuh komitmen dan integriti, seterusnya menjadi pemangkin kepada pengukuhan kepimpinan mahasiswa Islam serta jaringan kerjasama antara kelab dan persatuan mahasiswa Islam di seluruh negara.





