KUALA NERUS, 30 Oktober 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh pembangunan kepimpinan mahasiswa menerusi penganjuran Muslim Youth Leadership BootCamp 2026 yang berlangsung selama sehari di Studio Al-Quran, PISM UMT.
Program yang menghimpunkan seramai 65 orang mahasiswa daripada sayap-sayap gerakan mahasiswa di bawah PISM ini bertujuan melahirkan pemimpin muda Islam yang berilmu, berintegriti serta berkemahiran dalam mengurus organisasi secara sistematik dan profesional.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Ts. Dr. Muhammad Suzuri bin Hitam, Pengerusi Jawatankuasa Masjid UMT. Para peserta turut mengikuti sesi Discovery Masjid UMT yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Kasyfullah bin Abd. Kadir, Ketua PISM, bagi memberikan pendedahan mengenai peranan dan fungsi masjid sebagai pusat pembangunan ummah.
Sepanjang program, peserta mengikuti empat pengisian utama merangkumi aspek kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan, tadbir urus organisasi serta pengurusan kewangan. Sesi tersebut dikendalikan oleh YBrs. Dr. Hazaila bt Hassan, YBrs. Prof. Madya Dr. Uzair Rusli, Ustaz Muhammad Farhan bin Othman dan Ustaz Mohd Syafiq bin Alias.
Selain pengisian berbentuk teori, program turut memberi penekanan kepada latihan praktikal menerusi simulasi perancangan program tahunan dan penyediaan bajet oleh wakil setiap sayap mahasiswa bersama penasihat masing-masing. Sesi ini bertujuan menyelaras perancangan aktiviti, menggalakkan kerjasama rentas sayap serta memastikan pengurusan sumber dilaksanakan dengan lebih teratur.
Penganjuran Muslim Youth Leadership BootCamp 2026 merupakan inisiatif strategik PISM dalam memperkukuh kapasiti kepimpinan mahasiswa agar lebih bersedia memikul amanah, mengurus organisasi dan menggerakkan aktiviti dakwah secara berkesan.
Melalui program ini, PISM berharap dapat melahirkan barisan pemimpin mahasiswa yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan kemahiran, malah mampu menjadi penggerak kepada usaha mengimarahkan masjid serta memperkukuh syiar Islam di UMT.
































































