KUALA NERUS, 16 Januari 2026 – Program Aii Jom Selawat telah berjaya dianjurkan pada hari Jumaat bertempat di Laman Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sempena Minggu Mahabbah Rasul dan Sambutan Israk Mikraj.
Program ini merupakan anjuran Rakan Siswa YADIM (RSY) UMT dengan kerjasama Sahabat Masjid UMT, bertujuan menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW serta menghidupkan penghayatan terhadap peristiwa agung Israk dan Mikraj dalam kalangan warga kampus dan komuniti setempat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan komuniti luar, antaranya warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail. Penyertaan ini mencerminkan semangat kebersamaan dan ukhuwah Islamiah merentas institusi pendidikan, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan suasana selawat yang penuh harmoni dan keberkatan.
Program bertambah istimewa dengan persembahan qasidah Darul Hidayah yang dipimpin oleh Ustaz Mustafa Kamal Hamzah, Mudir Madrasah Darul Hidayah, Batu Burok, Terengganu. Alunan qasidah dan selawat yang dipersembahkan berjaya menyentuh hati para hadirin, sekali gus mengajak seluruh peserta menghayati kecintaan yang mendalam terhadap Rasulullah SAW.
Pengisian program yang berlangsung dalam suasana penuh ketenangan ini menjadi medium terapi jiwa dan pengisian rohani, di samping mengukuhkan ukhuwah sesama peserta. Penganjuran program ini juga selari dengan usaha PISM dalam membudayakan pengimarahan masjid dan ruang sekitarnya sebagai pusat pembangunan sahsiah serta pemerkasaan spiritual warga universiti.
Diharapkan program Aii Jom Selawat dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu inisiatif berterusan dalam menyuburkan mahabbah Rasul, memperingati kepentingan solat sebagai inti pati peristiwa Israk dan Mikraj serta melahirkan generasi mahasiswa dan masyarakat yang seimbang dari aspek rohani, emosi dan akhlak.











