KUALA NERUS, 1 Mac 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Kelab Mutiara UMT telah menganjurkan Majlis Penyampaian Kasih Ramadan Mutiara UMT sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan asnaf dalam kalangan pelajar sekolah rendah sekitar kawasan UMT.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, yang turut menyampaikan sumbangan kepada para penerima. Inisiatif ini bertujuan meringankan beban keluarga asnaf dalam membuat persiapan menyambut Ramadan di samping menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan semangat berkongsi rezeki dalam kalangan warga universiti.
Program ini merupakan hasil kerjasama erat antara Pusat Islam Sultan Mahmud dan Kelab Mutiara UMT dalam memperkukuh agenda tanggungjawab sosial universiti (USR) melalui pelaksanaan program kebajikan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
Pusat Islam Sultan Mahmud merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kelab Mutiara UMT, para penyumbang, jawatankuasa pelaksana serta semua pihak yang telah menjayakan majlis ini. Semoga sumbangan yang disampaikan dapat membawa kegembiraan kepada para penerima dan menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan budaya prihatin serta amalan bersedekah dalam kalangan warga UMT.























