KUALA NERUS, 2 Mac 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Program Bual Bicara Sempena Lestari Ramadan: Ramadan Rehat & Rawat bersempena Kempen Fastabiqul Khairat 14.0 (1447H/2026M) di Studio Al-Quran, PISM UMT.
Program yang berlangsung pada jam 10.00 pagi itu menampilkan Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Khairi bin Mohd Zainol, Pensyarah Fakulti Sains Makanan dan Agroteknologi (FSMA), UMT serta Dr. Al Mizan bin Mustapa @ Ab Rahim, Pensyarah Perubatan Hospital Sultan Zainal Abidin (HOSZA), Universiti Sultan Zainal Abidin sebagai panel. Sesi bual bicara dikendalikan oleh moderator, En. Wan Nor Ahmad Syaifuddin, Pegawai Psikologi UMT.
Perkongsian yang disampaikan memberi penekanan terhadap kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan emosi sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan ibadah puasa dapat dilaksanakan dengan lebih berkualiti, di samping mengamalkan gaya hidup yang sihat dan seimbang. Para peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar UMT turut mengambil peluang mengemukakan soalan serta berkongsi pandangan dalam suasana yang santai dan interaktif.
Penganjuran program ini merupakan antara inisiatif PISM dalam memperkasa budaya ilmu serta meningkatkan kesedaran warga kampus mengenai kepentingan penjagaan kesihatan sepanjang Ramadan. Program seumpama ini diharapkan dapat terus memberi manfaat kepada warga universiti dalam menghayati Ramadan dengan lebih bermakna.
Rakaman penuh program boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi PISM TV.















