Skip to main content

PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

NAIB CANSELOR SANTUNI BAKAL HAJI UMT

Kuala Nerus, 15 April 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra dan Solat Hajat Bakal Haji UMT Bersama Naib Canselor sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada warga universiti yang bakal menunaikan ibadah haji pada musim 1447H/2026M.

Majlis yang berlangsung di Studio Al-Quran, PISM itu menghimpunkan bakal-bakal haji UMT dalam suasana penuh mesra dan bermakna, sekali gus menjadi platform untuk memperkukuh ukhuwah serta memberikan suntikan motivasi dan persediaan rohani sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Program dimulakan dengan sesi ramah mesra bersama para bakal haji sebelum diteruskan dengan perkongsian ilmu dan nasihat berkaitan persediaan spiritual dalam menghadapi perjalanan ibadah haji.

Turut menyampaikan perkongsian ialah Prof. Ts. Dr. Muhammad Suzuri bin Hitam, Pengerusi Masjid UMT, yang berkongsi panduan mengenai persiapan rohani, penghayatan ibadah serta adab-adab yang perlu dijaga sepanjang berada di Tanah Suci.

Hadir sama Tuan Haji Khairoodin bin Ahmad, Pengarah Tabung Haji Wilayah Timur, yang menyampaikan penerangan mengenai pengurusan haji serta perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh para bakal jemaah bagi memastikan urusan ibadah berjalan dengan lancar.

Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim, turut menyampaikan amanat dan kata-kata semangat kepada para bakal haji. Beliau menzahirkan doa agar semua bakal jemaah dipermudahkan segala urusan, dikurniakan kesihatan yang baik serta memperoleh haji yang mabrur.

Majlis diteruskan dengan Solat Zuhur berjemaah dan Solat Hajat sebagai tanda munajat bersama memohon kesejahteraan, keselamatan perjalanan serta keberkatan buat seluruh dhuyufurrahman UMT.

Penganjuran majlis ini membuktikan komitmen Pusat Islam Sultan Mahmud UMT dalam menyantuni warga universiti melalui pengisian kerohanian yang memperkukuh nilai ukhuwah, kebersamaan dan keprihatinan. Program seumpama ini bukan sahaja menjadi medan persediaan rohani kepada bakal haji, malah mencerminkan sokongan berterusan universiti terhadap kebajikan dan kesejahteraan warganya.

Semoga seluruh bakal haji UMT dipermudahkan urusan menunaikan rukun Islam kelima, dikurniakan kesihatan yang baik serta kembali ke tanah air dengan membawa haji yang mabrur.

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca