Chendering, 25 April 2026 – Kelab Muslim Youth Volunteer (MYV), Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Program Nur Emas di Summer Eldercare, Chendering sebagai usaha menyemai nilai kasih sayang, empati dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa melalui aktiviti khidmat komuniti.
Program yang disertai oleh 18 orang ahli jawatankuasa MYV itu memberi peluang kepada para sukarelawan untuk meluangkan masa bersama warga emas menerusi pelbagai aktiviti santai dan interaksi mesra yang bertujuan memberikan sokongan emosi, perhatian serta kegembiraan kepada para penghuni pusat jagaan.
Selain mengeratkan hubungan dengan masyarakat, program ini turut menjadi medium pembelajaran kepada mahasiswa dalam menghayati nilai hormat kepada golongan warga emas, di samping memupuk rasa tanggungjawab sosial serta semangat untuk terus berbakti kepada komuniti.
Penganjuran Program Nur Emas diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga emas agar mereka terus dihargai, disantuni serta tidak berasa terpinggir dalam kehidupan bermasyarakat.
Pusat Islam Sultan Mahmud UMT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini, khususnya penasihat Kelab Muslim Youth Volunteer (MYV), Encik Abdul Rahim bin Hj. Uzip @ Othman, atas bimbingan dan sokongan yang diberikan.
Semoga Program Nur Emas terus menjadi platform memperkukuh budaya kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa UMT serta menyemarakkan amalan ihsan dan keprihatinan terhadap masyarakat, khususnya golongan warga emas.









