Pada 2 Mei 2026 Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kelab STEM-RBTK (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik – Reka Bentuk Kejuruteraan) dan Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Program Special Academic Visit: TinkerBot Intellectual Exchange Trip melibatkan 40 orang peserta bertempat di Masjid UMT.
Bagi program ini, perkongsian ilmu elektronik dan kejuruteraan berkaitan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), iaitu Internet-of-things, telah dilaksanakan. Tekno-Elektro Intellectual Exchange Trip adalah satu usaha untuk menggalakkan pelajar menjadi mahir dalam bidang pengaturcaraan dan robotik yang relevan untuk digunakan oleh semua peserta.
Program ini juga menerapkan elemen kepintaran buatan (artificial intelligence, AI) untuk mengawal peranti robotik mengikut arahan yang diberikan menggunakan teknologi pembelajaran mesin (machine learning).
Dalam program ini, pelajar UTM akan diberi peluang untuk menerapkan ilmu dalam bidang robotik, AI dan pengaturcaraan sebagai salah satu cabang pendidikan STEM/TVET kepada peserta dari UMT.
Kit robotik yang akan digunakan ialah TinkerKit, yang disesuaikan dengan pengaturcaraan sama ada menggunakan Arduino IDE atau pengaturcaraan blok seperti Tinkercode. Selain itu, para peserta diajar untuk membangunkan aplikasi mudah alih mereka sendiri yang berupaya mengawal robot secara wayarles, menggunakan aplikasi TinkerIOT serta mempunyai kepintaran khusus yang akan disesuaikan dari peserta masing-masing.
Pelajar dapat belajar cara menggunakan dan mengawal penderia robot dengan menggunakan aplikasi mudah alih mereka sendiri yang dibangunkan untuk memprogramkan robot melakukan sesuatu tugas tertentu.
Program ini memberi galakan dan peluang kepada peserta untuk bekerjasama dalam kumpulan, meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah, berinteraksi dengan rakan-rakan dan mengembangkan minat dalam bidang robotik.













