PISM | Pusat Islam Sultan Mahmud

10 KAWAH, 1 DEKAD, 1 UKHUWWAH

UMT AGIHKAN 2000 PEK ASYURA, HIDUPKAN TRADISI GOTONG ROYONG.

Kuala Nerus, 13 Julai 2025 – Sempena kehadiran bulan penuh barakah, Muharam 1447H UMT melalui Pusat Islam Sultan Mahmud dengan Kerjasama Persatuan Pentadbir dan Ikhtisas UMT (PERENTAS), Kelab Wanita UMT (MUTIARA), Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Kesatuan Kakitangan Am (KUAT) dan Persatuan Kebajikan Staf Akademik UMT (PASAK)  menganjurkan sebuah program istimewa “Jom Kacau Bubur Asyura”, sebuah manifestasi tradisi, spiritualiti dan kebersamaan yang dizahirkan dalam bentuk gotong-royong memasak bubur Asyura secara besar-besaran.

Lebih istimewa, tahun ini menyaksikan sebanyak 10 kawah bubur Asyura dikacau serentak, sebagai simbolik kepada ulang tahun ke-10 penubuhan Masjid UMT. Gabungan ini menjadikan program tersebut bukan sekadar acara tahunan, tetapi sebuah momen bersejarah yang mencatat detik penuh makna dalam perjalanan dekad pertama masjid UMT. 

Ketua Pusat Islam Sultan Mahmud, Dr Kasyfullah bin Abd Kadir berkata, “Program ini bukan sekadar memasak. Ia adalah lambang ukhuwwah, pengorbanan, persaudaraan dan kesinambungan nilai tradisi Islam yang dibawa bersama oleh warga kampus dan komuniti sekitar”. 

Dari awal pagi, suasana sekitar masjid dipenuhi dengan semangat gotong-royong, aroma rempah ratus dan senyuman yang terukir di wajah para peserta yang sama-sama mengacau bubur, menyediakan bahan, dan mengagihkan kepada orang ramai. 

Bubur Asyura bukan sekadar makanan tradisi, ia adalah warisan turun-temurun yang sarat nilai spiritual dan sejarah. Dalam Islam, bulan Muharam mengingatkan umat kepada pengorbanan para nabi, khususnya kisah Nabi Nuh AS selepas berlabuhnya bahtera, serta pelbagai peristiwa besar yang mengajar erti sabar, syukur dan ketabahan.

Melalui program ini, Masjid UMT tidak hanya menyemarakkan bulan Muharam, tetapi juga memperkukuh nilai pendidikan dan kebudayaan Islam kepada generasi muda kampus. Para peserta berpeluang mempelajari resepi tradisional, mendalami hikmah di sebalik ibrah Muharam, dan membina jaringan persaudaraan yang utuh.

Program ini juga merupakan siri program sambutan “Sedekad Masjid UMT”, yang berlangsung sepanjang tahun ini. Sepuluh tahun lalu, Masjid UMT didirikan sebagai pusat ibadah, tarbiah dan perpaduan, dan kini terus melakar sejarah dengan program-program berimpak tinggi seperti ini.

“Kami percaya masjid bukan hanya tempat solat, tetapi medan menyatukan hati, membentuk komuniti dan menyemai kasih sayang sesama manusia dalam naungan rahmat Allah,” tambah Dr Kasyfullah lagi. 

“Saya tak sangka akan rasa sebegini dekat dengan orang yang saya baru kenal. Kami kacau bubur bersama, berkongsi cerita, gelak ketawa. Sangat bermakna!” – Puan Kamariah, salah seorang wakil dari Pusat Aktiviti Warga Emas Kuala Nerus, (PAWE). 

“Ini kali pertama saya tengok 10 kawah serentak. Sangat mengagumkan. Tahniah Masjid UMT!” – Syamil, salah seorang peserta program. 

Akhirnya, pada sebelah petang 2000 pek bubur Asyura selesai diagihkan, bukan sekadar kepada perut yang lapar, tetapi kepada hati yang ingin dihargai, disatukan, dan diingati. Setiap senduk yang dikacau menjadi simbol kasih sayang yang dikongsi, dan setiap bekas yang diagihkan menjadi tanda cinta sebuah masjid kepada komuniti kampusnya.

Masjid UMT bukan hanya menyajikan bubur tetapi menyajikan pengalaman, kenangan dan harapan untuk sebuah komuniti yang lebih erat dan berjiwa Islami.

Disediakan oleh:

Seksyen Penyelidikan, Pembangunan dan Jaringan,

Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT

Tarikh: 13 Julai 2025

Kongsikan Berita Ini:

Teruskan Membaca