KUALA NERUS, 22 Februari 2026 – Festival Ramadan UMT 2026 telah dilancarkan secara rasmi sempena Majlis Amanat Naib Canselor yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini.
Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim, sekali gus menzahirkan komitmen berterusan universiti dalam menyemarakkan penghayatan Ramadan melalui pelbagai program kerohanian, kebajikan dan pembangunan sahsiah yang melibatkan warga kampus serta masyarakat setempat.
Sepanjang penganjurannya, Festival Ramadan UMT 2026 diisi dengan pelbagai aktiviti, antaranya solat tarawih dan iftar harian, program One Day One Juzuk, kempen derma darah, Ijtimak Ramadan, siri bual bicara, serta Majlis Penyampaian Kasih Ramadan Mutiara UMT dan lain-lain.
Dalam amanatnya, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri menyeru seluruh warga universiti agar menjadikan Ramadan sebagai medan memperkukuh keimanan, memupuk semangat kesukarelawanan dan mengeratkan ukhuwah sesama insan. Festival ini diharapkan dapat menjadi platform yang menyatukan warga UMT dalam suasana ibadah dan kebersamaan sepanjang bulan yang penuh keberkatan.








