KUALA NERUS, 1 Oktober 2026 – Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Malam Aspirasi sempena Minggu Jalinan Mesra (MJM) Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda Sesi Akademik 2026/2027 yang berlangsung di Masjid UMT.
Program dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah, diikuti Solat Hajat sebagai tanda memohon keberkatan, kelancaran dan kemudahan daripada Allah SWT buat para pelajar baharu dalam memulakan perjalanan sebagai mahasiswa UMT.
Pengisian diteruskan dengan Forum “Mahasiswa Hebat, Masa Depan Ummah” yang menampilkan pasangan suami isteri, PM Dr Mohd Uzair bin Rosli dan PM Dr Maizah binti Abdullah, masing-masing merupakan pensyarah serta alumni UMT.
Forum tersebut mengetengahkan perkongsian berkaitan pembentukan jati diri mahasiswa, kepentingan ilmu dan nilai kehidupan serta peranan generasi mahasiswa dalam membina masa depan ummah. Perkongsian yang disampaikan turut memberikan suntikan motivasi kepada para pelajar baharu agar menjadikan alam universiti sebagai medan untuk mengembangkan potensi diri, membina kecemerlangan akademik dan memperkukuh nilai sahsiah.
Turut berlangsung ialah ucapan pengenalan oleh Dr Kasyfullah bin Abd Kadir, Ketua PISM, yang menyampaikan amanat dan pengenalan kepada para pelajar baharu berkaitan peranan PISM sebagai antara pusat yang mendukung pembangunan sahsiah, kerohanian dan kesejahteraan mahasiswa sepanjang berada di UMT.
Suasana program turut diserikan dengan cabutan bertuah yang menceriakan lagi malam aspirasi serta mengeratkan hubungan antara para pelajar baharu dalam suasana santai dan penuh kemesraan.
Malam Aspirasi ini diharapkan menjadi satu permulaan yang bermakna buat para pelajar baharu UMT dalam melangkah ke alam pengajian tinggi dengan tekad, keyakinan dan nilai diri yang kukuh.
✨ Selamat datang ke UMT. Selamat menimba ilmu, membina pengalaman dan mencipta kejayaan.














